Thursday 13 April 2017

Jalan -jalan Korea 2017: Musim bunga sakura di Seoul




Musim bunga sakura di Seoul kebiasaannya bermula pada minggu pertama hingga minggu ketiga bulan April.  Oleh itu kali ini kami ke Korea Selatan pada 7 -11 April 2017 semata-mata untuk menikmati musim bunga sakura di sini. Alhamdulilah our timing was right dan diberi kesempatan olehNya untuk menyaksikan fenomena bunga yang berkembang seminggu sahaja setiap tahun ini. Antara tempat yang kami sempat lawati adalah berikut:

1.Seokchon Lake 
Stesen : Stesen Jamsil, Line 2, Exit 4

Dari exit 4, kami perlu berjalan kaki selama 10 minit untuk ke Tasik Seokchon. Sebenarnya tak pasti juga di mana tasik ni kerana bila keluar dari exit takde pulak signboard tunjuk arah ke tasik. So kami ambil keputusan untuk ikut je orang ramai  Alhamdulilah memang betul tekaan kami iaitu orang ramai ni kebanyakannya nak ke tasik. Arah untuk ke sini begini : keluar je dari exit 4,  jalan lurus dalam 300 meter. Bila jumpa traffic light, belok kanan dan seberang jalan. Tasik ni 100 meter je dari situ.

Bila sampai di tepi tasik ni terkesima sekejap. Masya Allah. Bukan tak pernah tengok bunga sakura (pernah lihat di Keukenkoff Garden di Belanda dan di Cappadocia, Turki dulu). Tapi tak pernah tengok sebanyak ini dan pemandangan cantik sangat kerana di sepanjang tasik penuh dengan bunga sakura yang sedang berkembang. Tambahan pula ada Castle Lotte World (taman tema) yang boleh dilihat berdekatan tasik yang menambahkan keindahan tempat ini.
 
Bunga sakura dan Istana Lotte World (ala-ala fairy tale) yang boleh dilihat di tepi tasik



 Gandingan bunga kuning (tak tahu nama), bunga sakura, tasik dan istana Lotte World menyerlahkan kecantikan tempat ini

Bunga sakura close up


  
Pemandangan bunga sakura di sepanjang tepi Tasik Seokchon
 
 
  
Sakura dan bangunan Lotte Tower yang boleh dilihat di sini

Taman yang ada di sini. Boleh piknik sambil  dok pandang bunga sakura


Sayangnya kami berkunjung pada hari sabtu. Pengunjung ramai sangat (mostly orang korea sendiri). Nak berjalan dan tangkap gambar agak susah sikit kerana perlu bergelut dengan orang ramai. Ada pula konsert k pop diadakan masa tu di tepi tasik berdekatan. Memang agak kurang selesa dan kurang kedamaian. So kalau nak berkunjung ke sini di musim sakura elakanlah datang di hujung minggu seperti kami. Barulah dapat menghayati sepenuhnya suasana di sini.

Orang yang sangat ramai. Pandai-pandailah kalau nak tangkap gambar kalau tak nak ada muka orang lain dalam gambar kita
 
  
Kami menghabiskan masa selama 2 jam di sini. Oleh kerana kami tak banyak masa kami hanya sempat jalan-jalan separuh je dari tasik ini.  Walaupun tak habis keliling tasik tapi puas hati kerana dapat menikmati bunga sakura yang berkembang cantik di sini.

2. Namsangol Hanok Village dan Seoul Tower
Stesen: Stesen Chungmuro, Exit 3 or 4

Selepas puas kami bersakura di Tasik Seokchon kami menaiki subway pula ke Namsangol Hanok Village. Perkampungan ini agak dekat dengan exit subway iaitu kira-kira 200 meter sahaja. Ada signage untuk ke sini dari stesen. So agak mudah untuk ke sini.

Namsangol Hanok Village menempatkan 5 buah rumah tradisional orang Korea, taman, pavilion, pentas persembahan dan time capsule plaza. Kalau anda hendak melihat rumah tradisional orang korea tempat ini memang sesuai untuk dikunjungi. Masa operasi perkampungan ini adalah dari pukul 9.00 pagi hingga 9 malam dan masuk adalah percuma.

Sebenarnya ini adalah kali ke tiga saya ke sini. Pertama kali adalah semasa musim autumn. Kali kedua pulak semasa winter dan kali ini saya pergi semasa musim bunga pula. Tempat ini tetap cantik tidak kira apa musim pun. Namun bagi saya ianya paling cantik semasa autumn kerana banyak pokok di taman ini adalah pokok maple dan gingko yang daunnya akan bertukar warna merah dan kuning semasa musim gugur. Di samping itu juga boleh kelihatan di sini pemandangan Gunung Namsan yang pokok-pokoknya bertukar warna merah, kuning dan coklat semasa autumn.

Semasa musim bunga, bunga sakura juga boleh dilihat di sini walaupun tak sebanyak di Tasik Seokchon. Terdapat pelbagai species bunga sakura di sini dan bukan sekadar bunga sakura jenis  Somei Yoshino.(yang popular) sahaja.  
 
Bunga sakura di pintu masuk Namsangol Hanok Village
 
Seoul Tower dan Gunung Namsan yang kelihatan di sini

Bunga sakura di Taman Namsangol Hanok Village


 
Bunga sakura di perkarangan rumah hanok


 



Selepas menghabiskan masa sejam di sini kami bergegas pula untuk ke Seoul Tower. Untuk ke sana kami menaiki bas shuttle bernombor 2 dari bus stop Chungmuro Station, exit 2. Maklumat lanjut berkenaan shuttle bus ini boleh dirujuk di alamat url http://www.nseoultower.co.kr/eng/visit/traffic.asp

Selepas menunggu selama 10 minit akhirnya bas yang ditunggu pun sampai. Oleh kerana di hujung minggu memang kami bersesak-sesak macam sardine dalam bas ini. Nasib baik semasa di hentian Namsan Public Library ramai orang yang turun. Bolehlah bernafas sedikit. Perjalanan ke Seoul Tower tidak lama. Hanya 20 minit sahaja dari Chungmuro Station.

Sampai di Seoul Tower hari dah mula nak malam. Niat di hati nak melihat bunga sakura di sini kerana dengarnya pemandangan bunga sakura di sini memang cantik kerana terdapat ratusan bunga sakura di kawasan pergunungan ini. Malangnya bunga-bunga di sini belum berkembang lagi dan hanya kelihatan pokok-pokok togel bersama dengan putik bunga sahaja. Lagipun hari dah malam jadi memang tak berapa kelihatan permandangan di sekitar
 
Seoul Tower dan pokok -pokok togel

 3. Gyeongbokgung Palace
Stesen: Stesen Gwanghamun

Kami pergi ke Gyeongbokgung Palace pada hari ke tiga kami di Korea Selatan. Kami ke sini dengan menaiki subway dan kemudiannya berjalan sejauh 700 meter ke istana. Sebenarnya stesen Gyeongbokgung lebih dekat dengan istana tetapi lebih mudah untuk kami ke stesen Gwanghamun kerana hanya terletak tiga stesen sahaja dari stesen subway berdekatan hotel kami (stesen Dongdameun Culture and Park)

Istana Gyeongbokgung merupakan istana yang terbesar dan tercantik  di antara 5 istana di Seoul. Oleh yang sedemikian, sekiranya anda tidak dapat mengunjungi semua istana di Seoul, istana ini merupakan pilihan tepat untuk dikunjungi.  Bayaran masuk ke istana ini adalah 3,000 won dan masa operasinya adalah dari pukul 9.00 pagi hingga  6.00 petang. Istana ini tutup pada hari Selasa.

Sebelum ini saya memang dah pernah pergi ke sini tetapi pada masa itu musim panas. Suasana agak panas masa itu (rasa kurang selesa) dan tiada bunga sakura berkembang. Kali ini sewaktu kami berkunjung pemandangan di sekitar istana memang sangat cantik. Cuaca baik masa kami datang. Hari panas tetapi tidak terasa panas kerana cuaca dingin dan nyaman. Bunga-bungaan pun banyak berkembang di kawasan istana termasuklah bunga sakura. Tidak hairanlah kenapa ramai pengunjung di sini sewaktu kami datang. Pemandangan paling cantik untuk menyaksikan bunga sakura di sini adalah di sekitar Gyeonghoeru Pavilion.

Bunga sakura berdekatan pintu masuk. Species ini pokoknya rendah, bunganya kecil dan tidak lebat. Warna bunganya putih dan ada juga yang pink


Ini jenis bunga sakura lain pulak. Bunganya berwarna putih, agak besar dan lebat

 
Pemandangan indah bunga sakura dan Tasik Gyeonghoeru Pavilion





Species bunga sakura berdekatan dengan pavilion ini jenis pokok yang tinggi dan bunganya berjuntai ke bawah  dan berwarna pink (species weeping cherry kot)
 
 
Ramai juga yang memakai baju tradisional Korea di sini dan kelihatan asyik bergambar dengan bunga sakura

 
 
4.  Seoul Grand Park 
Stesen: Seoul Grand Park Station, Exit 2
 
Selepas bersakura di Gyeongbokgung Palace, kami menuju ke Seoul Grand Park pula. Khabarnya di sini merupakan antara tempat terbaik menyaksikan bunga sakura sedang berkembang kerana terdapat ratusan pokok bunga ini ditanam di sini.
 
Seoul Grand Park merupakan sebuah kawasan luas yang menempatkan  Seoul Grand Park Zoo, Children's Zoo, rose garden, Seoulland amusement park dan National Museum of Modern and Contemorary Art, Gwancheon. Oleh kerana kami tidak banyak masa kami hanya pergi ke zoo sahaja (nak bawa anak melihat binatang + mengejar sakura di sini). Bayaran masuk zoo ni adalah 5,000 won (RM20) untuk dewasa dan 2,000 won (RM8) untuk kanak-kanak. Seoul Zoo merupakan zoo ke 10 terbesar di dunia dan menempatkan lebih dari 3000 binatang.
 
Malangnya bunga sakura di sini tak banyak yang dah mekar. Banyak pokok masih togel lagi.  Nasib baik zoo ini menarik dan pemandangan di sini juga cantik (berlatarbelakangan kawasan pergunungan dan tasik)
 
Bunga sakura yang belum mekar sepenuhnya di sini
 
 
Kawasan di sekitar zoo



Bunga-bunga lain yang berkembang di sini



 
Inilah 4 tempat yang kami sempat lawati untuk melihat sakura di Seoul semasa kunjungan singkat kami di sini. Niat kami untuk menyaksikan bunga sakura di Yeouido tak kesampaian. Di sana memang terkenal dengan deretan ribuan pokok bunga sakura tetapi kami tak sempat ke sana. Next time maybe...kalau dizinkan Allah.
 
Blog Berkaitan:

Jalan - jalan Korea 2017: Shopping kain cotton dan menikmati ikan bakar di Dongdaemun
Jalan - jalan Korea 2017: Musim bunga di Garden of Morning Calm dan Nami Island
Jalan- jalan Korea 2012 : Menikmati makanan Korea di Jeju Island

0 comments:

Post a Comment